Lelaki melecur rumah sewa terbakar di Bukit Kapar
Afiezy Azaman
Jun 24, 2023 07:15 MYT
Jun 24, 2023 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan cedera selepas rumah sewa didiaminya mengalami kebakaran di Jalan Rebung, Bukit Kapar, Selangor, awal pagi ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 pagi.
Sejurus itu, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, BBP Sg Pinang dan BBP Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati kebakaran melibatkan rumah sewa setingkat dengan anggaran 60 peratus kemusnahan.
"Semasa kejadian, terdapat dua lelaki sempat keluar menyelamatkan diri sebelum bomba sampai ke lokasi.
"Namun, seorang daripada mereka mengalami kecederaan melecur 45 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.40 pagi dan kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang menggunakan ambulans," ujarnya.