Lelaki melecur ketika cuba selamatkan kereta Honda dalam kebakaran
Sinar Harian
Mei 30, 2024 15:30 MYT
Mei 30, 2024 15:30 MYT
PASIR PUTEH: Seorang lelaki melecur tahap dua semasa cuba menyelamatkan kereta jenis Honda FD miliknya yang terbakar di Kampung Wakaf Lichong di sini pada Khamis.
Kejadian yang berlaku pada jam 3.30 pagi itu melibatkan kebakaran garaj dan turut sama memusnahkan kereta Perodua Kelisa, Viva serta motosikal jenis Honda CDi dan Ex-5.
Pemilik rumah, Rosnani Yusof, 66, berkata, semasa kejadian dia bersama dua anak dan menantu serta tiga cucu sedang lena tidur sebelum terdengar bunyi seakan letupan mercun.
"Saya bangun dan membuka tingkap bilik melihat api sedang marak di kawasan garaj kereta.
"Terkejut dengan kejadian itu saya menjerit api..api..mengejutkan ahli keluarga yang lain untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, menantu, Afendi Mat Zain, 35, telah menyelamatkan kereta miliknya daripada musnah, tetapi disebabkan api di bahagian atas bumbung kenderaan tersebut sedang marak, dia mengalami kecederaan.
Ujarnya, bahagian belakang serta tangan Afendi telah melecur dan kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Rosnani memberitahu, dia juga membantu anaknya yang lain menolak kereta jenis Mitsubhisi Expander dan ia berjaya diselamatkan walaupun turut terbakar 20 peratus.
Menurut dia, kebakaran tersebut berlaku cukup pantas dan garaj berkenaan musnah sepenuhnya.
"Dua buah kereta serta motosikal semuanya musnah.
"Bagaimanapun kami bersyukur api tidak merebak ke bahagian kediaman lain," katanya.
Dia memberitahu, punca serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). - Sinar Harian