Lelaki melecur dalam kebakaran tiga rumah sederet

Aida Aziz
Ogos 31, 2022 17:21 MYT
Dalam kebakaran itu, seorang mangsa cedera pada bahu, lengan, dagu serta kaki dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. - Gambar/ JBPM
TAIPING: Seorang lelaki melecur pada beberapa bahagian badan dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah teres sederet di Taman Kaya, di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa cedera pada bahu, lengan, dagu dan kaki dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 1.31 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dengan bantuan BBP Kamunting kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian.
"Kebakaran membabitkan tiga buah rumah teres kelas A satu tingkat dengan keluasan setiap rumah 14x60 kaki persegi.
"Rumah tersebut masing-masing musnah 60 peratus, 10 peratus dan satu peratus.
"Didapati seorang mangsa lelaki dari salah sebuah rumah mengalami cedera melecur pada bahagian bahu, lengan, dagu dan kaki.
"Mangsa telah dihantar oleh pihak perubatan ke hospital bagi rawatan susulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi yang diketuai oleh oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Hairul Richard itu tamat pada jam 2.53 petang.
#kebakaran #taman kaya #Taiping #mangsa cedera
;