Lelaki melecur dalam kebakaran rumah, kereta di Lekir
Abd Razak Mohd Ali
Februari 1, 2024 07:40 MYT
Februari 1, 2024 07:40 MYT
MANJUNG: Seorang lelaki melecur di bahagian badan dalam kebakaran sebuah rumah di Felda Gugusan Lekir, di sini, awal pagi ini.
Kebakaran turut memusnahkan sama sekali sebuah kereta jenis Nissan Sylphy.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 3.46 pagi.
Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 40x80 yang musnah 70 peratus serta sebuah kereta jenis Nissan Sylphy yang terbakar 95 peratus.
“Ia turut melibatkan seorang mangsa lelaki iaitu tuan rumah berumur 53 tahun yang melecur di bahagian belakang badan, paha dan kaki,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, lelaki itu diberi rawatan oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung.
Sabarodzi berkata, anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) untuk membuat pemadaman menggunakan dua aliran hos tiga pancutan 200 kaki sumber air dari pam jentera dan pili bomba sehingga api dapat dipadamkan.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Noor Syamsi Zainoldin tamat jam 5.21 pagi.