Lelaki melecur, 12 motosikal rosak akibat letupan disyaki kebocoran gas

Bernama
Oktober 6, 2023 10:30 MYT
Seorang lelaki melecur 30 peratus anggota badan dalam kejadian kebakaran di sebuah unit di tingkat 10, Desa Tun Razak Apartment, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki melecur 30 peratus anggota badan dalam kejadian kebakaran di sebuah unit di tingkat 10, Desa Tun Razak Apartment, Cheras di sini, malam tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Norasmah Alias berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.59 malam dan 16 anggota dengan kekuatan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi serta BBP Bandar Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dan berlaku letupan di sebuah unit terbabit dan ia turut membabitkan dua unit berhampiran.
"Akibat kejadian itu, seorang lelaki berusia 32 tahun melecur dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan dilaporkan sedang dirawat di zon merah," katanya dalam kenyataan.
Norasmah berkata, insiden itu turut menyebabkan 12 motosikal rosak setelah dihempap dinding konkrit dapur unit apartment yang runtuh akibat terbakar itu.
Katanya punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA
#lelaki melecur #12 motosikal rosak #letupan #kebocoran gas
;