Lelaki maut, tiga lagi cedera nahas dua kereta di Teluk Intan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 8, 2022 07:45 MYT
Anggota bomba ketika cuba mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang terlibat dalam nahas. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kereta bertembung di Lorong Setia, Jalan Bidor, dekat sini, awal pagi ini.
Bagaimanapun, setakat ni maklumat mengenai kesemua mangsa masih belum diperolehi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.53 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua buah kereta, sebuah jenis Perodua Viva telah bertembung dengan kereta jenis Proton Saga BLM.
“Terdapat dua orang mangsa tersepit di dalam Perodua Viva dan seorang daripadanya telah disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, dua lagi mangsa yang cedera ialah penumpang Perodua Viva dan pemandu kereta Proton Saga BLM.
Kerja-kerja menyelamat dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dengan dibantu anggota dari BBP Bidor.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Mohd Sharif tamat jam 4.51 pagi.
#Balai Bomba dan Penyelamat #Nahas #Lorong Setia #bertembung
;