Lelaki maut tertimbus tanah ketika mendulang bijih timah
Aida Aziz
Ogos 27, 2020 07:49 MYT
Ogos 27, 2020 07:49 MYT
Seorang lelaki maut tertimbus tanah ketika dipercayai melakukan kerja mendulang bijih timah di dalam kebun berdekatan Batu 24, Batu Kurau, semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Zakaria Yahaya, berumur dalam lingkungan 48 tahun, ditemui tertimbus tanah dengan kedalaman lima meter.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa dipercayai melakukan kerja mendulang bijih timah sendirian tanpa menggunakan sebarang jentera.
"Pihak bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.09 malam.
"Mangsa tidak balik sehingga pukul 8 malam dan keluarga mangsa telah membuat laporan polis.
"Pasukan bomba telah dikejarkan ke tempat kejadian, mangsa dipercayai maut akibat tertimbus tanah," katanya.
Ujarnya, komander operasi telah mengarahkan anggota untuk menggali di kawasan mangsa dipercayai tertimbus menggunakan peralatan khas.
"Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 10.48 malam dan disahkan maut oleh pihak perubatan yang berada di lokasi kejadian.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan membongkok.
"Pasukan bomba seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.20 pagi tadi.
#Batu Kurau
#bijih timah
#bomba
#JBPM Perak
#jentera
#Larut
#mangsa
#mati
#maut
#mendulang
#menggali
#peralatan khas
#polis
#tanah
#tertimbus