Lelaki maut tertimbus tanah ketika kerja pemasangan paip

Astro Awani
Mei 25, 2021 19:29 MYT
Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang pekerja pembinaan warga asing yang sedang memasang salur paip maut setelah ditimbus runtuhan tanah berhampiran bulatan Bandar Baharu Semariang di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah Bomba Dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, mengesahkan kejadian berlaku sekitar jam 5 petang
Ketika kejadian mangsa yang dikenali sebagai Daniel, 25, dan beberapa rakannya sedang melakukan kerja memasang saluran paip pada kedalaman sekitar tiga meter.
Katanya kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.12 petang dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
"Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sekitar 10 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," jelasnya.
Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
#meninggal dunia #tanah #tertimbus #maut #bomba #warga asing #KKM #Balai Bomba dan Penyelamat #jenazah #mangsa
;