Lelaki maut tertimbus semasa cari emas

Sinar Harian
September 22, 2024 13:10 MYT
Pasukan bomba terpaksa menggunakan khidmat jengkaut bagi melancarkan kerja-kerja mencari mangsa. - Gambar/ JBPM
TANAH MERAH: Seorang lelaki maut tertimbus dipercayai semasa mencari emas di Kampung Cabang Bijih, Perala, Sokor di sini pada Sabtu.
Mangsa merupakan warga tempatan berusia 56 tahun dikatakan tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Pegawai Bomba Tertinggi II Disagar Mani Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 4.11 petang.
"Setiba di lokasi, anggota bertugas telah melakukan kerja-kerja carian awal di kawasan tersebut yang digenangi air sedalam 0.5 meter," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, pihak bomba terpaksa menggunakan khidmat jengkaut bagi melancarkan kerja-kerja mencari mangsa.
Ujarnya, mayat mangsa kemudian berjaya ditemukan pada jam 5.56 petang.
Katanya, mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
"Mengikut maklumat keluarga, mangsa sudah empat hari tidak pulang ke rumah bermula Selasa lalu.
"Semasa dibawa keluar, mayatnya sudah membengkak," katanya.
Menurut beliau, mangsa dipercayai melakukan kerja mencari emas di tebing sungai yang mana struktur tanahnya tidak kukuh. - Sinar Harian
#lubuk emas #lombong emas #kes kematian #pelombong emas
;