Lelaki maut tertembak diri sendiri ketika buru babi hutan
Astro Awani
Julai 12, 2014 08:10 MYT
Julai 12, 2014 08:10 MYT
Seorang lelaki warga emas maut apabila tertembak diri sendiri ketika memburu babi hutan di Ladang Laka Selatan, Changloon lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul enam petang itu, mangsa Teragi Anthony, 59, mati di tempat kejadian setelah tertembak kiri kepalanya.
Ketika itu, mangsa sedang menunggang motosikal apabila tertarik picu senapang patah yang dipegangnya sebelah tangan.
Hutan berhampiran Ladang Laka Selatan, yang hanya kira-kira tiga kilometer daripada sempadan Malaysia-Thailand, merupakan lokasi popular bagi pemburu-pemburu binatang liar.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Pokok Sena itu, masuk ke dalam hutan ladang tersebut bersama anak saudaranya Jasbistih Anthony, 26, pada pukul 3 petang dengan masing-masing menunggang motosikal.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa telah mengarahkan anak saudaranya itu menunggu di atas bukit sementara mangsa menunggang motosikal sambil membawa senapang menuruni cerun bukit untuk masuk ke hutan.
Menurut Abdul Rahim, keadaan jalan bukit yang berlopak-lopak di situ memungkinkan mangsa menunggang motosikal dalam keadaan tidak selesa sambil memegang senapangnya sehingga tercetusnya kejadian malang itu.
“Si mati membawa motosikal bersama senjata senapang patah jenis Spanish telah terjatuh dan masa terjatuh itu, dia tertekan picu senapang patah dan menyebabkan peluru mengenai kepala sebelah kirinya.”
Mangsa memiliki lesen senjata api untuk memburu dan senapang patah itu merupakan miliknya.
Mayat mangsa dibawa keluar daripada ladang itu untuk dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada jam 11.30 malam untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Jasbistih berkata, bapa saudaranya merupakan seorang pemburu yang mahir dan telah beberapa kali masuk ke hutan itu memburu dan seringkali berjaya membawa pulang hasil buruan.
Katanya, ketika kejadian, dia diarahkan untuk menunggu di atas bukit oleh mangsa setelah mereka menyedari kelibat babi hutan di cerun bukit ladang itu.
Menurutnya, setelah beberapa ketika menunggu, dia terdengar satu das tembakan kuat dari arah cerun bukit dengan sangkaan bapa saudaranya telah berjaya menembak babi hutan.
Ditambahnya, selepas lama menunggu tanpa sebarang isyarat daripada bapa saudaranya, dia pergi ke tempat kejadian dan mendapati bapa saudaranya terbaring kaku dengan berlumuran darah.
Jasbitih kemudian terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian itu.
Ini merupakan kali ketiga beliau keluar memburu dihutan bersama bapa saudaranya.