Lelaki maut tersepit, van dipandu rempuh kedai runcit
Aida Aziz
Mei 17, 2023 09:50 MYT
Mei 17, 2023 09:50 MYT
PARIT BUNTAR: Seorang lelaki maut setelah van yang dipandunya dipercayai merempuh sebuah kedai runcit di Kampung Simpang 5, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa dikenali sebagai Ezrul Azmi, 33 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian.
"Anggota bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi. Seterusnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van pekerja yang telah melanggar sebuah kedai runcit, menyebabkan seorang mangsa iaitu pemandu, tersepit," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ros Azri Abd Rahman itu tamat pada jam 8.42 pagi.