Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

Sinar Harian
Jun 27, 2023 10:20 MYT
Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam treler yang terbabas ke dalam gaung di KM43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi awal pagi ini. - Foto ihsan JBPM
BENTONG: Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.45 pagi.
"Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian
#treler muatan pasir terbabas #treler jatuh dalam gaung #pemandu treler maut tersepit #Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi
;