Lelaki maut tersepit, kereta terbabas masuk longkang

Abd Razak Mohd Ali
Jun 16, 2023 12:55 MYT
Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Wira yang terbabas ke dalam longkang di Jalan Besar Lekir-Sitiawan, dekat Beruas, hari ini. - Foto JBPM Perak
BERUAS: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam longkang di Jalan Besar Lekir-Sitiawan, berhampiran stesen minyak Caltex, dekat sini, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Anuar Maarik, 50 tahun, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.30 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira, telah terbabas ke dalam longkang, menyebabkan pemandu tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Johari Tomin tamat jam 11.25 pagi.
#lelaki maut tersepit #kereta terbabas #kereta masuk longkang #Beruas
;