Lelaki maut tersepit, kemalangan dua lori di Lebuhraya Latar

Astro Awani
Oktober 10, 2019 10:44 MYT
Keadaan salah satu lori yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Latar pagi ini. - Astro AWANI
Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lori muatan ayam beku dan lori pasir di Kilometer 14.8 Lebuhraya Latar pagi ini.
Dalam kejadian kira kira jam 5.45 pagi itu, pemandu lori muatan ayam beku terbabit dipercayai telah terbabas dan merempuh bahagian belakang lori muatan pasir.
Akibat perlanggaran itu, pemandu dan dua penumpang tersepit di bahagian hadapan.
Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan jam 5.59 pagi dan menghantar sebuah jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Batu Arang.
Dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota, mangsa tersepit berjaya dikeluarkan lima minit kemudian.
Namun, mangsa yang dikenali sebagai Amir Haiqal Jajuli, 20 tahun, disahkan maut kerana cedera parah di badan.
Menurut Pegawai Operasi BBP Batu Arang, Adi Muhaimin Jamaluddin, ketika mereka tiba di tempat kejadian, terdapat dua mangsa tersepit dan pihaknya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan hydraulic cutter.
Pemandu lori ayam cedera ringan manakala seorang lagi rakannya cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
#Adi Muhaimin Jamaluddin #Amir Haiqal Jajuli #bomba Batu Arang #cedera parah #kemalangan #Lebuhraya Latar #Lori #mangsa tersepit #maut #panggilan kecemasan
;