Lelaki maut tersepit di tapak projek MRT
Mariah Ahmad
Februari 24, 2016 19:30 MYT
Februari 24, 2016 19:30 MYT
Seorang lelaki maut tersepit selepas terlibat dalam satu kemalangan jentera skylift yang hilang kawalan di tapak projek Mass Rapid Transit (MRT) 4 di Kota Damansara Selangor pada petang tadi.
Menurut Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, kemalangan tersebut berpunca akibat kerosakan hidraulik, dan menyebabkan rangka jentera skylift itu melanggar hujung stesen MRT.
"Pihak bomba menerima panggilan pada jam 2.41 petang dan tiba di lokasi pada jam 2.56 petang.
"Jumlah anggota yang dikerahkan dari Balai Bomba Sungai Buloh adalah seramai 7 orang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Mangsa, Mohd Amin Wahip, 25, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital Sungai Buloh.
Sementara itu, Pihak MRT Corporation dan MMC Gamuda KVMRT (PDP) dalam satu kenyataan pada Selasa turut mengesahkan kemalangan tersebut dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam melakukan siasatan kemalangan ini.
"MRT Corporation dan MMC Gamuda KVMRT (PDP) berasa kesal dengan insiden ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa."