Lelaki maut terkena renjatan elektrik sewaktu redah banjir

Vivi Sumanti
Disember 4, 2019 17:35 MYT
Mangsa dikatakan telah mengharung banjir kerana keadaan rumahnya yang terkepung sebelum berpaut pada tiang elektrik. - Foto: Ihsan pembaca
Bahaya dan risiko yang menanti pada musim banjir tidak mampu diduga.
Begitulah yang terjadi pada seorang lelaki di Kampung Tasek Permai, di sini, yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa, Zulkifli Yacob, 51, mahu mengambil buah nona kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Mangsa dikatakan telah mengharung banjir kerana keadaan rumahnya yang terkepung sebelum berpaut pada tiang elektrik.
Anaknya, Mohd Zunaidi, 27, berkata, dia mengetahui kejadian itu sebaik sahaja dihubungi saudaranya.
"Ketika kejadian saya tidak ada di rumah sebelum bergegas pulang dan terpaksa meredah banjir sedalam satu meter.
"Sebaik tiba orang kampung beritahu ayah sudah tidak bernyawa dan menghubungi bomba serta polis bawa keluar mayat (dari lokasi kejadian)," katanya.
Dia berkata, jenazah arwah ayahnya terpaksa diusung sejauh satu kilometer dalam banjir oleh anggota bomba dan polis sebelum menaiki jentera berat milik Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Deh, kerana tempat pengebumian terdekat sudah ditenggelami banjir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Katanya, polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan agensi berkaitan berhubung kematian mangsa.
#banjir #buah nona #kampung tasek permai #mangsa banir #Rantau Panjang #renjatan elektrik #risiko banjir #zulkifli yacob
;