Lelaki maut terkena renjatan elektrik
Aida Aziz
Mei 29, 2023 15:42 MYT
Mei 29, 2023 15:42 MYT
BIDOR: Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Coldstream, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Pihak bomba terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi.
"Tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa, ketua operasi membuat 'size up' dan mendapati masih ada arus elektrik di kawasan sekitar tersebut.
"Susulan itu, pihak bomba meminta bantuan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan tiada lagi arus elektrik di situ," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Tarmizee Hassan itu tamat pada jam 1.35 tengah hari.