Lelaki maut terkena renjatan elektrik
Vivi Sumanti
Mac 20, 2020 21:06 MYT
Mac 20, 2020 21:06 MYT
Bapa maut manakala dua lagi anak perempuannya selamat apabila terkena renjatan elektrik ketika sedang membasuh jentera berat miliknya di Kampung Panji, Kota Bharu, pada Khamis.
Dalam kejadian dipercayai jam 4.30 petang semalam, Mohd Khairul Azuan Zukifli, 38 tahun, bersama dua anak perempuannya yang berusia tujuh serta 11 tahun sedang membasuh jentera berat di belakang rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu hanya disedari oleh seorang lagi anak perempuannya yang berusia 14 tahun jam 5.25 petang.
"Anak mangsa melihat bapa serta dua adiknya terbaring tidak sedarkan diri di belakang rumah dan turut melihat hos pemancut air yang mempunyai aliran elektrik tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Dua kanak-kanak terbabit sempat diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anaknya menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Punca kematian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada ‘water jet’ yang digunakan mangsa.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tidak ada sebarang kecederaan di tubuh badan mangsa," katanya.