Lelaki maut tergelincir dari lori sampah

Bernama
Oktober 16, 2024 17:00 MYT
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat. - Gambar/ Sinar Harian
JERTIH: Seorang pemungut sampah maut selepas terjatuh dari lori sampah yang dinaikinya di Jalan Kampung Jabi di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian sekitar 8 pagi itu, mangsa Muhammad Sahrul Aiman Anuar, 20, dikatakan berdiri di belakang lori sampah yang sedang bergerak dari arah Jertih ke Kuala Terengganu untuk melakukan kerja memungut sampah di sekitar Jabi sebelum dia tergelincir dan jatuh di atas bahagian hadapan sebuah kereta Proton Saga.
"Mangsa tergelincir lalu terjatuh atas bahagian depan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 20 tahun dari arah sama dan berada di belakang lori sampah itu.
"Akibat kejadian berkenaan, mangsa yang beralamat di Kampung Pasir Tawar, Jertih meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat, manakala pemandu Proton Saga yang bekerja sebagai guru Taska itu tidak mengalami kecederaan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
-- BERNAMA
#lori sampah #pemungut sampah #kemalangan maut #jatuh lori sampah
;