Lelaki maut setelah motosikal berkuasa tinggi rempuh lori di Simpang Pulai

Nazialita Geynna Maharan
Mac 9, 2016 21:45 MYT
Hadi berkata mangsa disahkan maut di tempat kejadian berikutan impak perlanggaran itu oleh pihak ambulans.
Seorang lelaki maut setelah motosikal berkuasa tingginya merempuh sebuah lori di Jalan Keramat, Simpang Pulai pada petang Rabu.
Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, mangsa yang menaiki motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands tersepit di bawah tayar lori berkenaan dan disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan Hadi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 2.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya kami di tempat kejadian, kami dapati motosikal mangsa telah pun tersadai dan tersepit di bahagian bawah tayar lori.
“Anggota kami kemudiannya menggunakan alat menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulans bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Rabu.
Hadi berkata pihak ambulans mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian berikutan impak perlanggaran itu.
“Operasi tamat sepenuhnya sekitar 3.15 petang,” katanya lagi.
#Ipoh #Lori #motosikal #simpang pulai
;