Lelaki maut selepas kereta dipandu langgar pembahagi jalan

Bernama
Februari 29, 2024 02:40 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam nahas yang berlaku di KM 141 Lebuhraya Utara-Selatan hala utara, berhampiran Juru, awal pagi ini. - Foto Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 141 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara, berhampiran Juru di sini, awal pagi hari ini.
R.Aravin, 26, yang memandu kereta jenis Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi(PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.43 pagi, dan sebaik tiba seorang lelaki ditemukan tersepit di ruang pemandu.
"Tindakan komander operasi ialah membuat "size up" dan dengan menggunakan peralatan khas "rescue tool" melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan lelaki yang tersepit itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki itu berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan pasukan perubatan yang berada di lokasi mengesahkan dia telah meninggal dunia.
Mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
-- BERNAMA
#Lebuhraya Utara-Selatan #langgar pembahagi jalan #kereta terbabas #pemandu tersepit