Lelaki maut selepas ditembak dan ditetak

Angelina Sinyang
November 9, 2019 16:54 MYT
Siasatan awal mendapati rakan si mati hanya keluar dari belukar selepas keadaan reda dan mendapati rakannya sudah meninggal dunia. - Foto PDRM
Seorang lelaki warga asing meninggal dunia selepas ditembak dan ditetak di leher manakala seorang lagi terselamat dalam satu kejadian di kawasan perindustrian Samalaju, Jalan Persisiran Pantai Bintulu-Miri kira-kira jam 11 malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, ketika kejadian, mangsa yang terselamat yang berusia dalam lingkungan 30an difahamkan sedang berbual dengan seorang lagi rakannya yang berusia 27 tahun iaitu si mati, di hadapan rumah sebelum terdengar bunyi tembakan.
"Ketika berbual, tiba-tiba mereka terkejut terdengar bunyi tembakan dan mangsa yang terselamat terasa sakit di bahagian badan terus bertindak melarikan diri ke belukar belakang rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, rakan mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan yang dilepaskan suspek.
Terdapat juga kesan tetakan di bahagian leher si mati manakala mangsa yang sempat menyelamatkan diri dilaporkan cedera di bahu kanan, terkena tembakan peluru penabur.
Katanya, pihaknya yang menerima makumat mengenai kes itu bergegas ke tempat kejadian di sebuah rumah terbiar di ladang sawit pada kira-kira 2.48 pagi tadi.
Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati rakan si mati hanya keluar dari belukar selepas keadaan reda dan mendapati rakannya sudah meninggal dunia.
Polis kemudian membawa mayat si mati dan mangsa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, pihak polis akan terus berusaha menjalankan siasatan untuk mengenalpasti suspek serta motif kejadian itu.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan cubaan membunuh," tambah beliau lagi.
#Bintulu #dikelar #Hospital #mati ditembak #maut #meninggal dunia #polis #siasatan #warga asing
;