Lelaki maut rempuh belakang treler berhenti bahu jalan, saksi diminta salur maklumat

Aida Aziz
Ogos 8, 2024 22:10 MYT
Seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang treler yang berhenti di bahu jalan dekat Ipoh, 30 Julai lalu. - Foto PDRM
IPOH: Seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang treler yang berhenti di bahu jalan dekat sini baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kemalangan tersebut berlaku dekat susur lebuh raya berhampiran plaza tol Simpang Pulai pada 30 Julai lalu.
Katanya, mangsa cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan lanjut. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos lalu.
"Pada Rabu (7 Ogos) sekitar jam 10.50 malam, pihak polis menerima maklumat dari HRPB, seorang mangsa lelaki yang merupakan penunggang motosikal telah terlibat kemalangan dengan sebuah treler.
"Mangsa disahkan meninggal dunia (mati lewat) di HRPB," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari, apabila pemandu treler iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
"Pemandu itu membuat pemeriksaan brek yang mengalami masalah dan secara tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang treler," katanya.
Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-6713177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
#penunggang motosikal #Ipoh #treler berhenti tepi jalan #Hospital Raja Permaisuri Bainun