Lelaki maut, putus tangan dan kaki digilis kereta api
Ruzaini Zulkepli
Februari 9, 2020 19:44 MYT
Februari 9, 2020 19:44 MYT
Seorang lelaki maut dalam keadaan ngeri selepas digilis kereta api berhampiran Kilometer 88, Kampung Balakau, Beaufort, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Charlieyon Dasmon, 27 tahun ditemui pada kira-kira 7.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.45 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan untuk tujuan pemeriksaan.
"Setibanya di lokasi, kita menemukan mangsa di tengah-tengah landasan keretapi dalam keadaan tertiarap.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa telah menjumpai kad pengenalan dipercayai milik mangsa.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala (tengkorak pecah), putus pergelangan tangan kanan dan pergelangan kaki kiri," katanya.
Menurut beliau dalam satu kenyataan pada Ahad, hasil siasatan dan maklumat yang diterima oleh isteri mangsa, mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam.
"Berdasarkan rakaman percakapan isteri mangsa, dia mendapati mangsa selalu tidak balik rumah dan minum minuman keras (arak) bersama rakannya.
"Kali terakhir (mangsa) keluar rumah pergi kerja ialah pada 8 Februari lalu (Sabtu)," katanya.
Jelas Azmir, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.
Kes terbabit diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan setakat ini.