Lelaki maut, pejabat jeti nelayan terbakar
Abd Razak Mohd Ali
Februari 16, 2022 12:12 MYT
Februari 16, 2022 12:12 MYT
HUTAN MELINTANG: Seorang lelaki ditemukan maut selepas sebuah pejabat di jeti nelayan swasta di Sungai Hutan Melintang, di sini, terbakar pagi ini.
Mangsa, Eng Ching Hoe, 43, yang melecur anggota badan dan tidak sedarkan diri, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Zulkafle Abdullah berkata, mereka menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 7.26 pagi.
Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lakasi kejadian mendapati orang awam sedang memadam kebakaran kecil di pejabat berkenaan, menggunakan hos air domestik.
“Didapati juga seorang mangsa di tempat insiden dalam keadaan melecur anggota badan dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia mengikut maklumat awal pihak pegawai perubatan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Punca kejadian masih disiasat oleh Pasukan Forensik Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.