Lelaki maut pecah kepala dalam kejadian langgar lari
Adie Sufian Zulkefli
November 28, 2023 09:20 MYT
November 28, 2023 09:20 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal mengalami pecah kepala dan maut susulan terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Pangkalan Lebai Man-Sungai Petani, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini identiti penunggang motosikal terbabit belum diketahui disebabkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7.50 petang membabitkan sebuah motosikal jenis Suzuki dan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal terbabit yang sedang bergerak dari arah Taman Sri Wang menghala ke arah Kampung Raja, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Akibat daripada itu, motosikal terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti. Sebaik pelanggaran, pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, impak pelanggaran yang kuat itu menyebabkan penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melarikan diri terbabit.