Lelaki maut nahas Myvi-lori balak di Temerloh

Azee Shafy
Mac 10, 2023 11:40 MYT
Seorang mangsa dalam kereta Myvi yang cedera berjaya keluar dari kereta Myvi, namun seorang lagi mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia. -Foto JBPM
TEMERLOH: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam satu nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Temerloh-Karak, di sini, pagi Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi, dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab termasuk seorang pegawai dikerah ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dengan sebuah lori muatan balak.
"Seorang mangsa yang mengalami kecederaan berjaya keluar sendiri dari kereta Myvi, sementara seorang lagi mangsa tersepit akibat kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak melakukan operasi menyelamatkan bagi mengeluarkan mangsa tersepit, namun dia disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
#Myvi #lori balak #Jalan Temerloh-Karak #Zulfadli Zakaria
;