Lelaki maut nahas dua kenderaan di Mersing
Sinar Harian
Februari 9, 2024 16:35 MYT
Februari 9, 2024 16:35 MYT
MERSING: Seorang lelaki maut manakala empat individu termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan dua kereta di Jalan Besar menghala Batu 6, Loji Air Tengku di sini pada Jumaat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.13 pagi Jumaat.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat tersebut seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya anggota ke lokasi didapati kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira Aeroback dan Proton Iswara.
"Terdapat seorang lelaki dan kanak-kanak cedera parah telah dikeluarkan oleh orang ramai, manakala tiga individu dalam Proton Iswara tersepit," katanya.
Tambahnya, anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.
"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sekitar jam 8.58 pagi," katanya. -Sinar Harian