Lelaki maut nahas dua kenderaan di Genting Highlands

Intan Shanim Sulaiman
Disember 23, 2024 15:30 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan di Gohtong, di Hulu Selangor, pada Isnin. -Bomba Selangor
HULU SELANGOR: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah terbabit kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan berhampiran Balai Polis Bantuan Gohtong, Gohtong Jaya, di sini, pada Isnin.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 58 tahun maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran Balai Polis Bantuan Gohtong, Gohtong Jaya.
  • Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mayat kepada pihak polis.
  • Pemandu Cam Placer-X mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan insiden itu pada jam 10.05 pagi dan mengarahkan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan dua kenderaan jenis Toyota Corolla Altis dan Cam Placer-X telah bertembung.
“Pemandu Toyota Corolla Altis yang berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian akibat tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada pasukan polis bagi tindakan selanjutnya, tambahnya.
Sementara itu, katanya, pemandu Cam Placer-X mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dihantar ke hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
#Genting Highlands #nahas dua kereta #Ahmad Munir Yunus #maut kemalangan
;