Lelaki maut, motosikal terbakar dalam nahas dengan MPV di Lebuhraya PLUS
Abd Razak Mohd Ali
Januari 24, 2025 08:45 MYT
Januari 24, 2025 08:45 MYT
IPOH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam nahas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 343 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Bidor, awal pagi ini.
Lelaki berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan motosikalnya turut terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.24 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah motorsikal jenis Suzuki Raider 150 dan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard yang mengakibatkan kebakaran pada motosikal tersebut musnah terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani tamat jam 3.35 pagi.