Lelaki maut, motosikal rempuh kereta rosak di lorong kecemasan

Aida Aziz
Mac 31, 2024 05:15 MYT
Akibat pelanggaran di kilometer 325.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan itu, mangsa melambung ke atas but belakang kereta dan mengalami kecederaan parah. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Seorang lelaki maut setelah motosikal jenis KTM Duke 200 yang ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan.
Kejadian itu berlaku di kilometer 325.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Mohd Naim Asnawi, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada Sabtu, sekitar jam 6.37 petang.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah kereta jenis Audi Q3 2.0 yang dipandu seorang lelaki warganegara India berusia 48 tahun.
"Dia telah memberhentikan kereta di lorong kecemasan di lokasi kejadian ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
"Keretanya telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki warganegara Myanmar (pemastautin tetap) berusia 26 tahun di laluan sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohd Naim, pemandu itu berhenti di lorong kecemasan kerana dipercayai keretanya mengalami kerosakan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa melambung ke atas but kereta dan mengalami kecederaan parah.
"Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Tapah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Katanya lagi, pemandu kereta dan isterinya berusia 44 tahun serta dua anak perempuan masing-masing 14 dan lapan tahun tidak cedera.
Mayat penunggang motosikal dihantar ke bahagian Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
#berhenti di lorong kecemasan #kereta rosak #penunggang motosikal maut #Tapah
;