Lelaki maut, motosikal kuasa tinggi terbakar dalam nahas dua kenderaan
Sinar Harian
Februari 13, 2025 17:47 MYT
Februari 13, 2025 17:47 MYT
Lelaki maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43.1 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Penawar pada Khamis. -Sinar Harian
PASIR GUDANG: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas motosikal kuasa tinggi ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43.1 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Penawar, di sini pada Khamis.
Ringkasan AI
- Aiman Murstid Muhsin, 31, maut selepas motosikal kuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Exora di Kilometer 43.1 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Penawar.
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi dan mengerahkan 22 anggota serta beberapa jentera ke tempat kejadian. Motosikal mangsa musnah 90 peratus akibat perlanggaran.
- Pemandu Proton Exora, Yusri Ahmad Darin, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi bomba berjaya mengawal kebakaran dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Komander Operasi Balai Polis Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 7.33 pagi.
"Seramai 22 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah motosikal berkuasa tinggi telah musnah 90 peratus akibat perlanggaran dengan sebuah kereta Proton Exora," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa, Aiman Murstid Muhsin yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Sementara itu, Haizrul berkata, pemandu Proton Exora pula, Yusri Ahmad Darin, 54, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.17 pagi," ujarnya. -Sinar Harian