Lelaki maut lori muatan diesel jatuh gaung, terbakar di lebuh raya
Aida Aziz
Disember 5, 2022 12:10 MYT
Disember 5, 2022 12:10 MYT
IPOH: Seorang lelaki maut setelah lori yang membawa muatan diesel yang dinaikinya jatuh ke dalam gaung sebelum terbakar di kilometer (km) 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.52 pagi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh bergegas ke lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori muatan diesel.
"Kenderaan itu jatuh ke dalam gaung dan terbakar, didapati seorang mangsa lelaki telah maut di lokasi kejadian.
"Operasi pemadaman dan penyelamatan masih berjalan sehingga kini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Operasi berkenaan diketuai Ketua BBP Meru Raya, PPgB Shahrudi Mohd Halil dengan turut disertai PgKB II Muhamad Shahrizal Aris.