Lelaki maut langgar tokong di tepi jalan

Nazialita Geynna Maharan
Februari 14, 2016 10:14 MYT
Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, kenderaan mangsa telah terbabas di bahu jalan dan melanggar sebuah tokong kecil sebelum mangsa maut di lokasi kejadian. - Astro AWANI
Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Medan Selera, berhampiran MH Hotel Ipoh pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, kenderaan mangsa telah terbabas di bahu jalan dan melanggar sebuah tokong kecil sebelum mangsa maut di lokasi kejadian.
Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Mahir Saad berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, didapati kenderaan mangsa jenis Proton Iswara Aeroback telah terbabas dan memasuki parit besar di lokasi.
"Pihak perubatan hospital juga mengesahkan mangsa berusia 20-an yang berada di tempat duduk pemandu (tidak tersepit) maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamad Mahir berkata pihaknya telah menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.56 pagi," ujarnya.
#kemalangan di Jalan Medan Selera #kemalangan maut #maut langgar tokong Cina