Lelaki maut ketika mendaki Gunung Nuang
Hilal Azmi
Ogos 20, 2017 16:22 MYT
Ogos 20, 2017 16:22 MYT
Seorang lelaki dipercayai maut akibat sesak nafas ketika mendaki di Hutan Lipur Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.
Mangsa berusia sekitar 30-an sebelum itu dilaporkan pengsan di Kem Pengasih dekat Puncak Gunung Nuang semalam sekitar jam 12 tengah hari.
Ketua Balai Bomba Kajang, Mohd Jaslizad Jalil memberitahu Astro Awani, usaha mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian mengambil masa lebih 12 jam memandangan bentuk muka bumi yang mencabar.
"Pasukan kita mula operasi jam 3 petang semalam dengan anggota keselamatan melibatkan 30 orang.
"Kami tiba di lokasi kejadian sekitar jam 11 malam. Demi keselamatan, kami mulakan operasi mengeluarkan mangsa awal pagi tadi.
"Antara cabaran yang terpaksa kami tempuhi ialah cerun yang licin dan tinggi, laluan sempit serta batu yang tajam," katanya.
Mangsa berjaya diturunkan ke pintu masuk Hutan Lipur Gunung Nuang pada jam 3 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk pengesahan lanjut.