Lelaki maut ketika diurut di pusat refleksologi
Bernama
Ogos 11, 2014 13:58 MYT
Ogos 11, 2014 13:58 MYT
Seorang pelanggan lelaki meninggal dunia ketika sedang diurut di sebuah pusat refleksologi di sini, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee berkata dalam kejadian jam 12.01 malam itu, Yap Kien Bun, 41 tahun yang berasal dari Perak, dikatakan tidak sedarkan diri semasa badannya diurut di pusat berkenaan.
Katanya, usaha menyelamatkan mangsa dilakukan pekerja pusat berkenaan namun gagal sebelum menghubungi Hospital Miri.
"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
"Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan atau kesan luka dikesan pada tubuh mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Miri," katanya.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.