Lelaki maut, kereta tersangkut atas penghadang jalan di Jambatan Kedua Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 5, 2024 18:19 MYT
Ogos 5, 2024 18:19 MYT
GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta dipandunya terbabas dan tersangkut di atas penghadang jalan di Kilometer (KM) 18.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang awal pagi Isnin.
Mangsa, M.Guna, 29, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan dalam kejadian jam 5.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, ketika dihubungi berkata ketika kejadian mangsa memandu sendirian dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu lelaki itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas lalu berpusing sehingga tersangkut di atas penghadang laluan motosikal.
Hasil semakan mendapati mangsa memiliki lesen memandu yang sah, namun cukai jalan kenderaan dipandunya sudah tamat tempoh pada Mac lalu.
Kamarul Rizal berkata, punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di dada akibat kemalangan tersebut.
Dalam pada itu, Kamarul berkata, pihak polis sedang mengesan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
Ia selepas seorang pemandu lori tampil membuat laporan mendakwa mangsa melanggar bahagian belakang kenderaannya sebelum kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Proton X50
#langgar treler
#Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
#rempuh penghadang jalan
#M Guna