Lelaki maut kereta terhumban dalam parit
Rudi Affendi Khalik
Jun 2, 2019 12:27 MYT
Jun 2, 2019 12:27 MYT
Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit berhampiran SMK Sadong Jaya di sini pada pagi Ahad.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden sekitar jam 7.59 pagi dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota segera digerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan.
"Berdasarkan maklumat awal, kita dimaklumkan terdapat dua mangsa berbangsa Cina terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Setiba di lokasi sekitar jam 8.38 pagi, mangsa lelaki yang identitinya dikenal pasti sebagai Tan Kuan Soon, 59, didapati tersepit di bahagian pemandu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
"Pasukan kita kemudian berjaya mengeluarkannya dengan menggunakan peralatan 'rescue tools'.
Mangsa wanita yang dipercayai isterinya pula, diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Asajaya oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan selanjutnya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.