Lelaki maut kereta terbabas langgar tiang lampu

Sinar Harian
Disember 25, 2024 10:00 MYT
Tangkap layar rakaman kamera yang menyaksikan MPV Toyota Unser hilang kawalan melanggar tiang lampu di tengah jalan sebelum melanggar kereta Mercedes-Benz. - Foto Sinar Harian
PASIR GUDANG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 12.1 Jalan Permas, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 2.17 petang itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang dipandu lelaki warga tempatan dengan kereta Mercedes-Benz S500 dan dua lori jenis UD dan Scania.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Toyota Unser memandu dari arah Tanjung Langsat menghala ke Johor Bahru hilang kawalan ketika sampai ke lokasi.
“MPV berkenaan telah melanggar tiang lampu yang berada di tengah jalan lalu masuk ke laluan bertentangan hingga terlanggar bahagian belakang Mercedes-Benz S500 dipandu seorang lelaki warga China," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pada masa sama datang lori UD tersebut dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak tiang lampu yang tumbang atas jalan raya dan turut melanggar belakang Mercedes-Benz S500.
Kemudian katanya, datang pula lori Scania dan turut terlanggar tiang lampu berkenaan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, pemandu Toyota Unser yang berusia 34 tahun cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara lelaki warga China itu hanya mengalami cedera ringan.
"Kesemua pemandu telah hadir di balai polis memberi keterangan," ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian
#Nahas #hilang kawalan #tiang lampu #laluan bertentangan
;