Lelaki maut kereta terbabas dalam parit

Astro Awani
Februari 25, 2023 11:52 MYT
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta yang terbabas ke dalam parit. -Astro AWANI
MANJUNG: Seorang lelaki berusia 38 tahun maut akibat tersepit dalam sebuah kereta yang dipandunya selepas terbabas ke dalam parit di Jalan Utama Dato Seri Kamarudin, dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Adde Noor Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.05 pagi.
Katanya sejurus selepas itu sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati nahas melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil yang terbabas masuk ke dalam parit yang berkedalaman 7 meter.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk membawa keluar mangsa yang tersepit.
"Mangsa kemudian disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Operasi tamat pada jam 10.12 pagi.
#maut akibat tersepit #kereta terbabas ke dalam parit #Adde Noor Othman #Jalan Utama Dato Seri Kamarudin
;