Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori sawit

Aida Aziz
April 26, 2022 21:33 MYT
Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat. - Gambar/ JBPM
BERUAS: Seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan sawit, berdekatan SMK Changkat Beruas di sini petang Selasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang.
Justeru katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori 15 tan yang membawa muatan kelapa sawit telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
"Mangsa yang juga pemandu kereta berkenaan telah tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bagaimanapun pemandu lori itu hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya lagi, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi yang diketuai oleh PBK II Mohd Hanafi Mohd Rashidi itu tamat pada jam 5.29 petang.
#kemalangan maut #pemandu tersepit #lori sawit #JBPM
;