Lelaki maut kereta bertembung pacuan empat roda
Abd Razak Mohd Ali
Disember 15, 2019 23:23 MYT
Disember 15, 2019 23:23 MYT
Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Maharaja Lela di sini, hari ini.
Mangsa, T. Loganatham yang berusia dalam lingkungan 20-an maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan kenderaan tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 1.41 petang.
Katanya, apabila tiba di lokasi, anggota bomba mendapati berlaku kemalangan dua buah kenderaan bertembung melibatkan kereta Perodua Viva dan Toyota Hilux.
“Tiga orang mangsa dalam Toyota Hilux cedera dan telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum anggota sampai.
“Seorang mangsa di dalam Perodua Viva tersepit di bahagian pemandu dan disahkan maut oleh pihak kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas ‘lukas rescue cutter’ dan ‘spreader’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Perak
#pacuan empat roda
#Perodua Viva
#T Loganatham
#Toyota Hilux