Lelaki maut kenderaan terbabas, rempuh tiang jejantas ketika hujan

Astro Awani
Jun 19, 2024 10:30 MYT
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabas di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu pada Rabu. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandu terbabas dan merempuh tiang jejantas di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 12.50 pagi itu, mangsa, Chee Teck Kok, 40, yang memandu kenderaan jenis Toyota Crown Ahtlete, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan akibat cedera parah.
Sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Ppenyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam pada jam 12.58 pagi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sabah, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Welson Juanis bersama 9 anggota itu mengambil masa lebih kurang sejam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada kenderaan pada jam 2 pagi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas sekitar jam 2.10 pagi akibat kecederaan serius pada anggota badan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.
Dalam kejadian berasingan, lapan batang pokok turut dilaporkan tumbang di sekitar Kota Kinabalu akibat angin kencang dan hujan lebat yang berlaku di antara jam 11 malam sehingga jam 2 pagi tadi.
Orang awam dinasihatkan agar memandu secara berhemah terutamanya ketika musim hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
#Nahas #tiang jejantas #cedera parah #meninggal dunia
;