Lelaki maut kenderaan dihempap pokok kelapa
Nazialita Geynna Maharan
November 20, 2015 23:47 MYT
November 20, 2015 23:47 MYT
Perjalanan seorang lelaki yang pulang ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia menemui ajal berikutan kenderaan yang dinaikinya dihempap sebatang pokok kelapa di Jalan Kuala Pari, di sini pada petang Jumaat.
Dalam kejadian sekitar 6.25 petang itu, mangsa, Wong Yew Khon, 66, yang bekerja sebagai seorang penjual ikan maut serta-merta di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata pihaknya menerima maklumat awam dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati kenderaan jenis Perodua Rusa mangsa remuk teruk di bahagian hadapan berikutan dihempap pokok.
"Sesampai kami di sana, mangsa yang tersepit di kenderaannya telah meninggal dunia dan dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
"Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dijalankan esok (Sabtu) sekitar 9 pagi," katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati impak pokok kelapa telah menyebabkan kenderaan mangsa remuk di bahagian hadapan yang melibatkan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
"Keadaan cuaca pada petang itu adalah hujan yang amat lebat,angin kencang berserta jalan yang basah.
" Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.