Lelaki maut, kemalangan kereta dan bas ekspres

Bernama
September 1, 2024 11:20 MYT
Keadaan kereta dan bas ekspres yang terlibat dalam nahas di kilometer 24 Jalan Bahau, Kamayani. - Foto Sinar Harian
JEMPOL: Seorang lelaki maut apabila kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di kilometer 24 Jalan Bahau, Kamayani di sini pada 10.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan bas dipandu oleh lelaki berumur 48 tahun bersama 23 penumpang dalam perjalanan ke Bahau.
Beliau berkata susulan kemalangan itu, penumpang kereta terbabit berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta berusia 36 tahun cedera di bahagian kaki dan muka sedang menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemandu bas bersama 23 penumpang lain tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#Nahas #maut #bas ekspres #kereta
;