Lelaki maut, kekasih parah, kemalangan pulang dari beli cincin pertunangan
Nur Fazlizai Ali
Mei 14, 2023 11:20 MYT
Mei 14, 2023 11:20 MYT
KEMAMAN: Seorang lelaki maut manakala bakal tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Muhammad Aliff Hafizzudin Samsul, 24, dari Kampung Bukit Kuang, Kemaman, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Bakal tunangnya yang berusia 21 tahun dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, pula parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Ketika kejadian, Muhammad Aliff dikatakan dalam perjalanan menghantar bakal tunangnya itu pulang ke rumah selepas membeli cincin untuk majlis pertunangan mereka.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
"Kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta yang remuk dan terbalik. Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh anggota bomba dan Muhammad Aliff disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.