Lelaki maut, isteri patah kaki dalam nahas selepas hadiri majlis perkahwinan

Nur Fazlizai Ali
Jun 10, 2022 06:00 MYT
Nahas yang meragut nyawa Mazlan Daud (gambar kecil) akibat kecederaan parah di bahagian dada. -Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anak perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan Proton Iswara.
Nahas berlaku di kilometer 113, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Padang Kubu, kira-kira jam 8 malam pada Jumaat.
Mangsa bersama keluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke bandar Kuantan, Pahang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Wakaf Tapai di Marang.
Setiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Pada masa sama kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun gagal mengelak lalu melanggar kereta mangsa.
Ketua Zon Dua, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.18 malam.
Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah digerakkan ke lokasi kejadian.
Mangsa, Mazlan Daud, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Isterinya Siti Mahana Teh, 51, patah kaki kanan dan dua anak mereka berusia 12 dan 23 tahun cedera ringan.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kemaman bagi tindakan lanjut.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
#kemalangan #Jalan Jerangau-Jabor #Mazlan Dau #Siti Mahana Teh
;