Lelaki maut, isteri parah dalam kemalangan dua kereta dan lori tangki

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 17, 2019 15:45 MYT
Seterusnya anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memgalami kecederaan. - JBPM
Seorang lelaki maut manakala isterinya parah apabila kereta mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta dan sebuah lori tangki di Kilometer 187.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, lelaki G. Shanmugam, 38, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi, maut di tempat kejadian manakala isterinya, V. Kalaiselvi, 39, cedera parah.
Turut cedera ialah pemandu kereta Proton Persona dan pemandu lori tangki yang membawa muatan simen.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.06 pagi.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit terpaksa dijalankan dengan bantuan kren bagi mengangkat lori simen.
“Seterusnya anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memgalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis.
#Bagan Serai #kemalangan #lori tangki #mangsa kemalangan #mangsa maut