Lelaki maut, isteri, dua anak parah tercampak dari kereta
Sinar Harian
Januari 26, 2022 10:05 MYT
Januari 26, 2022 10:05 MYT
KAMPAR: Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anaknya parah dalam nahas di Kilometer 38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan dekat Kampung Kerinchi di sini lewat petang Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 6.50 petang itu, Mohamed Shafrie Yahaya, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.
Isterinya, Nur Hikmah Zainal, 22, bersama dua anak, Noor Shaeira Irna, 7, dan Muhammad Shahrizal, 5, masing-masing cedera di bahagian kepala.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga Aeroback dinaiki mereka sekeluarga itu terbabas ke dalam longkang.
Keadaan itu mengakibatkan empat beranak berkenaan tercampak keluar dari kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kampar untuk rawatan.
"Mangsa yang maut juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.
Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada jam 6.57 petang.
Menurutnya, tiada mangsa yang tersepit dan dua kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala isterinya diberi rawatan awal sebelum dibawa menaiki ambulans untuk rawatan di hospital," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.