Lelaki maut, ibu mertua melecur 90 peratus dalam kebakaran
Bernama
November 23, 2018 06:21 MYT
November 23, 2018 06:21 MYT
Seorang lelaki maut manakala ibu mertuanya melecur teruk di seluruh bahagian badan selepas rumah mereka di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat.
Mangsa A. David Saminathan, 52, ditemukan dengan kesan rentung di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan manakala ibu mertuanya A. Agnes Mary, 60-an melecur 90 peratus di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata pihak polis menerima maklumat berhubung kebakaran rumah itu pada pukul 6.19 petang dan pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata menurut anggota keluarga mangsa, lelaki itu gagal menyelamatkan diri dan mayat mangsa ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik bersebelahan tangga.
"Lelaki itu dipercayai cuba turun untuk menyelamatkan diri sebaik isterinya memaklumkan berlaku kebakaran namun mangsa tidak sempat keluar dari rumah mereka kerana api marak dengan cepat," katanya di sini malam tadi.
Shafee berkata ibu mertua mangsa yang melecur 90 peratus berjaya diselamatkan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya serta dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Katanya semasa kebakaran, mangsa berada di rumah itu bersama isteri, mak mertua serta seorang anak perempuannya dan dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azhar Samsudin berkata dua buah jentera dari Balai Bomba Sungai Bakap dan Bandar Perda bersama 15 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.
Azhar berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kediaman lain pada 6.42 petang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam keseluruhan api di rumah berkenaan.
"Rumah itu terbakar lebih 70 peratus dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, isteri mangsa yang berada di bilik mayat HSB enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa suami serta ibunya.
Anggota keluarga mereka yang enggan dikenali berkata mereka sangat sedih dengan kejadian itu dan berharap Agnes Mary kembali pulih.
"Kami sudah kehilangan seorang abang (saudara) dan kami semua berdoa agar ibu saudara (Agnes Mary) kembali sihat terutama menjelang sambutan Krismas bulan depan.
"Saya dimaklumkan mereka telah mula membuat persiapan untuk perayaan itu namun semuanya telah terbakar," katanya .
-- BERNAMA
#A Agnes Mary
#A David Saminathan
#Azhar Samsudin
#Hospital Seberang Jaya
#kebakaran
#Krismas
#melecur
#rentung
#rumah teres
#Seberang Perai
#Shafee Abdul Samad
#simpang ampat
#Taman Cegar